Dec 4, 2014
Puisi Si Pasu Usang
Kepada: Mawar
Siapa aku mahu memula bicara,
Siapa aku mahu tafsir cinta,
Siapa aku mahu tanam sekuntum bunga,
Siapa aku mahu menjaga sekeping atma,
Siapa aku mahu kekal bersama.
Hidup ini tidak semudah yang disangka,
Saat kau rebah tidak berdaya,
Lihat kiri dan kanan siapa yang bersedia,
Untuk angkat kau supaya kembali bersuara.
Hidup ini tidak seindah drama,
di mana semua yang ada adalah pelangi belaka,
Tiada tangisan duka,
Tiada cacat cela,
Tiada sebarang dilemma.
Hidup ini banyak belukar,
Saat kau berjalan tanpa sedar,
Kaki kiri dan kanan kau mungkin tercalar,
Tapi usah kau tunduk dan biar.
Hidup ini jangan lemah,
Jangan sebab kuman kau senang beralah,
Jangan sebab zarah kau senang resah.
Jangan sebab kecil kau senang menyerah.
Siapa aku yang berbicara tanpa sedar,
Siapa aku yang bercakap tiada pendengar,
Siapa aku yang wujud dalam samar,
Percayalah, aku yakin kau tahu aku ini penawar.
Aku mungkin miskin ilmu,
bahkan membaca pun aku masih kaku,
Menyanyi aku masih tidak berlagu,
Berdiri aku masih dibantu,
Liku hidup aku masih tidak menentu,
Tapi benar, kau mahu tahu siapa aku?
Kau sudi bertemankan aku?
Perkenalkan, aku si pasu.
dan engkau mawar yang tumbuh di dalamku.
Satu janji yang mampu aku lahirkan,
Selama mana engkau bertahan,
Aku janji, aku akan jadi pasu yang taat kepada tuan.
Ikhlas daripada,
Si Pasu Usang